Waktu Urusniaga Kaunter: Isnin - Jumaat: 9:00 Petang - 4:00 Petang | Waktu Pejabat: Isnin - Jumaat: 8:30 Pagi - 5:30 Petang


Informasi

Menu Utama / Informasi


PNB catat agihan tertinggi RM15.3 bilion kepada pemegang unit ASNB




Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB), mencatat agihan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM15.3 bilion kepada 13.1 juta pemegang unit semua tabung di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, disokong prestasi pelaburan yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Prestasi itu turut menyaksikan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) PNB berkembang kepada RM365.3 bilion, sekali gus menghampiri sasaran RM400 bilion yang ditetapkan menerusi pelan transformasi LEAP-6 menjelang 2027.

PNB dalam Laporan Bersepadu 2025 (IR 2025) berkata, pencapaian berkenaan dicapai ketika pasaran global berdepan pelbagai cabaran termasuk ketegangan perdagangan, ketidaktentuan geopolitik dan pelonggaran dasar monetari yang dilakukan secara berhati-hati oleh bank pusat utama dunia.

Dana utama ASB mengisytiharkan dividen sebanyak 5.75 sen seunit, menghasilkan agihan rekod kepada jutaan pemegang unit di seluruh negara dengan agihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 mencecah RM10.4 bilion.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, mandat institusi itu bukan sekadar menjana pulangan kewangan tetapi turut memberi tumpuan kepada pembinaan daya tahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Mandat kami melangkaui pulangan kewangan dan berteraskan usaha membina daya tahan, meningkatkan kesejahteraan hidup dan memastikan rakyat Malaysia merentas generasi menikmati kemakmuran yang mampan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, pertumbuhan AUM mencerminkan kekuatan kewangan organisasi selain keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin dan berfokuskan pelanggan.

Menurutnya, prestasi kukuh itu disokong oleh pendekatan kepelbagaian pelaburan merangkumi ekuiti, pendapatan tetap, kredit swasta dan pasaran global yang membantu mengurangkan impak turun naik pasaran serta memastikan pulangan mampan kepada pemegang unit.

Dalam memperkukuh Korporat Malaysia, PNB terus memainkan peranan penting menerusi usaha meningkatkan permodalan pasaran sebanyak RM100 bilion dalam tempoh lima tahun melalui kerjasama strategik antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Penyatuan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di bawah PNB turut dilihat sebagai langkah strategik yang bakal memperkukuh keupayaan institusi itu dalam membangunkan perusahaan Bumiputera sepanjang kitaran pertumbuhan mereka, daripada peringkat prapenyenaraian sehingga pascapenyenaraian.

Pada masa sama, PNB terus memperluas agenda pemerkasaan masyarakat menerusi program literasi kewangan. Inisiatif Celik MADANI misalnya berjaya menarik penyertaan lebih 200,000 pelajar di seluruh negara setakat tahun ini.

Dari sudut kemampanan, PNB mencapai status pelepasan sifar bersih (Net Zero Enterprise) bagi Skop 1 dan Skop 2 pada 2025, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha penyahkarbonan organisasi.

Selain itu, sebanyak 40 peratus pelepasan portfolio kini dilindungi oleh sasaran sifar bersih yang kredibel sejajar aspirasi Portfolio Sifar Bersih 2050.

PNB turut memperuntukkan RM100 juta bagi pelbagai inisiatif impak sosial termasuk pendidikan, literasi kewangan, bantuan banjir dan program pemerkasaan komuniti yang memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia.

Mengulas prospek masa depan, Rizal berkata persekitaran global dijangka terus mencabar susulan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, khususnya konflik di Timur Tengah yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan, aliran tenaga serta meningkatkan ketidaktentuan harga tenaga global.

Bagaimanapun, beliau berkata PNB berada pada kedudukan yang kukuh untuk menghadapi cabaran tersebut melalui strategi pengurusan portfolio yang berdisiplin dan keupayaan organisasi yang semakin mantap.

"Usaha ini meletakkan PNB pada kedudukan kukuh untuk menghadapi cabaran jangka pendek sambil terus menyampaikan nilai mampan kepada pemegang unit kami," katanya.



Sumber: HMetro

Artikel Penuh :

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2026/06/1371755/pnb-catat-agihan-tertinggi-rm153-bilion-kepada-pemegang-unit-asnb