PMB Investment lancar dana tawar pulangan stabil, berkala

KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd melancarkan PMB Shariah Fixed Price Income Wholesale Fund, satu penyelesaian pendapatan tetap patuh Syariah yang direka khusus bagi memenuhi keperluan pelabur sofistikated terhadap pulangan stabil dan berkala.
Dana berkenaan direka untuk memberikan pendapatan yang stabil dan berkala, di samping mengekalkan kecairan serta memelihara modal melalui portfolio aset patuh Syariah yang pelbagai.
Portfolio berkenaan merangkumi instrumen patuh Syariah iaitu pendapatan tetap, ekuiti, skim pelaburan kolektif serta deposit.
Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, berkata dana itu mencerminkan maklum balas strategik syarikat terhadap permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian pendapatan patuh Syariah.
"Kami percaya dana berkenaan berpotensi menyokong pemeliharaan modal dan penjanaan pendapatan mampan dalam persekitaran pasaran yang semakin tidak menentu," katanya.
Pelancaran PMB Shariah Fixed Price Income Wholesale Fund disempurnakan oleh Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman sempena sambutan Hari MARA ke-60 di sini.
Turut hadir, Pengerusi Pelaburan MARA Bhd, Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Mahdzir Othman; serta Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin.
Sementara itu, Hang Tuah berkata, PMB Investment memberi tumpuan kepada pembentukan fasa seterusnya dalam penciptaan nilai, termasuk pengembangan ke dalam kelas aset berorientasikan masa hadapan seperti kredit karbon.
Beliau berkata, syarikat bukan sahaja menyediakan penyelesaian pendapatan stabil patuh syariah untuk pelabur institusi, malah membina ekosistem bersepadu yang menghubungkan modal, kelestarian dan tadbir urus Syariah.
Pelancaran dana itu turut seiring dengan penganjuran forum bertajuk 'Menerajui Sempadan Baharu: Pelaburan Syariah dalam Dunia Lestari' dengan kerjasama PMB Sustainable Sdn Bhd.
Forum berkenaan menghimpunkan pemain industri dalam ekosistem kewangan Islam bagi membincangkan evolusi strategi pelaburan ke arah kelas aset mampan dan alternatif, termasuk pasaran karbon.
Dalam perkembangan sama, majlis itu menyaksikan pertukaran kerjasama strategik antara PMB Investment dan Wassiyyah Shoppe Sdn Bhd.
PMB Sustainable pula memeterai kerjasama dengan ISRA Consulting Sdn Bhd dan Asia Gas Hub Sdn Bhd bagi memperkenalkan rangka kredit karbon diperakui patuh Syariah pertama di dunia.
Inisiatif itu bertujuan menyediakan pengesahan syariah dan etika yang diperlukan untuk penyertaan dalam pasaran karbon yang sedang berkembang.
Kerjasama berkenaan dijangka memperkukuh sokongan ekosistem merentas penyelesaian pelaburan dan pembangunan pasaran karbon selaras dengan objektif kelestarian serta ekonomi yang lebih luas.
Sumber: Bharian
Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2026/05/1541400/pmb-investment-lancar-dana-tawar-pulangan-stabil-berkala
