Ringgit dijangka kekal rendah berbanding dolar AS minggu hadapan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan jangkaan berterusan terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) tahun ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemungkinan kenaikan Kadar Dana Persekutuan oleh Fed sebanyak 25 mata asas tahun ini dijangka terus menyokong dolar AS, sekali gus mempengaruhi pergerakan mata wang serantau termasuk ringgit.
"Minggu depan, kami menjangkakan dinamik yang sama terus berlaku," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pelabur akan memantau rapat data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang dijadual dikeluarkan pada 26 Jun, iaitu ukuran inflasi pilihan Fed.
"Data inflasi ini dijangka kekal tinggi. Oleh itu, ringgit berkemungkinan kekal rendah dalam jangka masa terdekat," katanya.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.1340/1395 berbanding dolar AS daripada 4.0555/0600 pada minggu lalu.
Mata wang tempatan turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4709/4782 daripada 5.4429/4489, selain turun berbanding yen Jepun kepada 2.5636/5671 daripada 2.5334/5364.
Unit domestik juga lemah berbanding euro kepada 4.7376/7439 daripada 4.6979/7031.
Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 232.2/232.5 daripada 227.0/227.4, selain turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2019/2064 daripada 3.1602/1640.
Ringgit juga rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5856/6074 daripada 12.4105/4288, dan susut berbanding peso Filipina kepada 6.80/6.81 daripada 6.67/6.68.
Sumber: BeritaHarian
Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2026/06/1575174/ringgit-dijangka-kekal-rendah-berbanding-dolar-minggu-hadapan
