OPR dijangka kekal pada paras semasa sehingga akhir 2026 - Penganalisis

Kuala Lumpur: Firma penyelidikan mengekalkan unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi akhir tahun 2026 pada paras 2.75 peratus, mengambil kira penilaian positif BNM terhadap prospek pertumbuhan Malaysia dan jangkaan inflasi yang terkawal.
Ini turut berdasarkan jangkaan BNM bahawa pertumbuhan ekonomi 2026 akan kekal kukuh dalam julat unjuran rasminya antara empat dan lima peratus.
CGS International memaklumkan kenyataan MPC terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh, disokong oleh eksport yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan terhadap elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh dan prospek global yang bertambah baik.
"Jika dibandingkan kenyataan MPC terkini dengan kenyataan yang dikeluarkan pada 8 Mei 2026, pendirian dasar secara keseluruhannya kekal neutral, dengan pandangan yang lebih positif terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan yang mereda dan prospek pertumbuhan yang lebih baik.
"Dengan jangkaan pertumbuhan berada dalam julat unjuran rasmi dan inflasi yang terkawal, kami melihat tiada keperluan mendesak untuk sebarang pelarasan dasar," menurutnya dalam nota penyelidikan baru-baru ini.
Menurut CGS International, permintaan domestik terus mendapat manfaat daripada keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, pertumbuhan gaji yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan, manakala keadaan rantaian bekalan global yang lebih baik dan eksport bukan E&E yang pulih akan memberikan sokongan tambahan.
Public Investment Bank Bhd (PIBB) turut menjangka OPR kekal pada 2.75 peratus sehingga akhir 2026.
Menurutnya, kenyataan pada Julai mengekalkan pendirian dasar yang secara amnya neutral tetapi penilaian makroekonomi menjadi lebih positif berbanding pada Mei.
"BNM dilihat lebih yakin terhadap hala tuju pertumbuhan ekonomi Malaysia. Perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan suku kedua yang berdaya tahan, didorong oleh permintaan domestik yang berterusan dan prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan.
"Permintaan terhadap E&E kekal kukuh. Sokongan tambahan dijangka daripada eksport bukan E&E yang pulih, terutamanya petrokimia serta pengeluaran minyak dan gas apabila kemudahan kembali beroperasi selepas kerja-kerja penyelenggaraan selain perbelanjaan pelancong yang berterusan.
"Rujukan BNM terhadap unjuran pertumbuhan antara empat dan lima peratus mengukuhkan keyakinannya bahawa penampan pertumbuhan domestik kekal kukuh walaupun berdepan kejutan luaran," menurutnya.
Mengenai inflasi, PIBB memaklumkan sentimen kenyataan BNM kekal menunjukkan keadaan inflasi yang terkawal.
BNM mengakui terdapat kesan awal daripada tekanan kos global yang tinggi tetapi impaknya terhadap inflasi keseluruhan dan teras dijangka kekal terkawal, menurut PIBB.
"Buat masa ini, tekanan inflasi sebahagian besarnya masih daripada faktor luaran dan kenaikan kos, dengan bukti terhad mengenai tekanan berasaskan permintaan yang meluas.
"Kenaikan kadar sebanyak lima mata asas pada suku keempat masih menjadi kemungkinan kecil yang bergantung pada keadaan tertentu.
"Ini memerlukan bukti bahawa tekanan kos semakin meluas ke atas inflasi teras, tekanan inflasi menjadi berterusan atau pelonggaran dasar mula menjana ketidakseimbangan kewangan," menurutnya.
Dalam pada itu, Apex Securities Bhd memaklumkan sentimen dasar berubah menjadi lebih positif.
Menurutnya, keadaan bekalan yang lebih baik dan harga komoditi utama yang lebih stabil menyokong prospek pertumbuhan global dan domestik.
Menurut Apex Securities Bhd, walaupun BNM selesa dengan paras OPR semasa, ia boleh mengekalkan kadar pada paras yang tinggi jika terdapat petunjuk inflasi meningkat melebihi jangkaan.
"Dengan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi yang secara amnya kekal utuh, kami menjangka BNM akan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus sepanjang 2026," katanya.
Sumber: Harianmetro
Artikel Penuh :https://www.hmetro.com.my/bisnes/2026/07/1383180/opr-dijangka-kekal-pada-paras-semasa-sehingga-akhir-2026-penganalisis
