Bank Negara mungkin turunkan OPR tahun depan - OCBC Bank

KUALA LUMPUR: OCBC mengunjurkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) tahun depan, kemungkinan pada suku kedua 2026.
Dalam laporan Global Economic Outlook 1H 2026 hari ini, OCBC berkata unjurannya iaitu pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan ruang yang terhad untuk sokongan fiskal secara meluas menunjukkan dasar monetari masih mempunyai ruang untuk bertindak.
Katanya, hal ini terutamanya susulan tekanan inflasi sebahagian besarnya diuruskan dengan baik.
"Kami menjangka dasar monetari akan kekal fleksibel. Kami berpuas hati dengan unjuran kami untuk penurunan kadar 25 mata asas lagi daripada BNM tahun depan, kemungkinan pada suku kedua 2026," tambahnya.
Ia berkata, usaha rasionalisasi subsidi kerajaan dilaksanakan dengan baik walaupun harga barangan sasaran meningkat pada 2025.
Namun, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal terkawal.
"Risiko kepada unjuran kami untuk penurunan kadar 25 mata asas lagi iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak perlahan seperti yang kami jangkakan.
"Dan ini akan membolehkan bank pusat kekal dalam keadaan bertahan lebih lama pada 2026," katanya.
Pada masa ini, OPR BNM berada pada 2.75 peratus.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/11/1473856/bank-negara-mungkin-turunkan-opr-tahun-depan-ocbc-bank
